KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya siasatan berhubung kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly ketika dalam tahanan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Beliau berkata, arahan itu disampaikan selepas menghubungi Ketua Polis Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan.
Menurutnya, perkembangan siasatan juga perlu dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham yang masih menantikan jawapan berhubung kejadian tersebut.
“Saya juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini dan menegaskan supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, serta perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham yang mahu menyerahkan surat rayuan kepadanya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat menerima sendiri surat berkenaan kerana dijadualkan menghadiri beberapa program di Melaka.
Sehubungan itu, beliau telah mewakilkan pegawainya untuk menerima surat berkenaan serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan oleh keluarga Allahyarham.
“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya. – MYNEWSHUB


