KUALA LUMPUR – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin membangkitkan tentang syarikat milik BlackRock, Global Infrastructure Partners (GIP) yang didakwa dibenarkan masuk dalam pemilikan lapangan terbang negara ketika isu keselamatan data dijadikan alasan untuk menyekat penggunaan aplikasi Waze.
Menurutnya, data lapangan terbang jauh lebih sensitif berbanding maklumat daripada aplikasi navigasi berkenaan, namun perkara itu tidak mendapat perhatian sama seperti isu Waze.
“Kalau nak bercakap soal keselamatan data, ‘it must be holistic’. Bukan pilih satu aplikasi kemudian anggap masalah selesai. Kalau benar ini soal Israel dan keselamatan, ada benda yang lagi besar tapi diteruskan juga.
“Misalnya GIP syarikat milik BlackRock dibenarkan masuk dalam pemilikan lapangan terbang kita. Data lapangan terbang lebih jauh sensitif daripada Waze. Kenapa yang tu tak dipersoalkan?,” katanya menerusi rakaman video di media sosial.
Terdahulu, Hafiz menegaskan beliau menyokong usaha memboikot Israel dan prinsip melindungi data rakyat, namun pelaksanaan sesuatu dasar tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau turut mengingatkan kerajaan mengenai beberapa dakwaan insiden penggodaman laman sesawang agensi kerajaan serta kebocoran data MyKad di darkweb seperti yang pernah dilaporkan.
“Jadi, ‘the leak is not just Waze. The leak is in our own house’. Kalau nak bercakap soal keselamatan data, ‘it must be holistic’. Bukan pilih satu aplikasi kemudian anggap masalah selesai,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, kedaulatan digital memerlukan pembangunan sistem peta, data trafik, enjin laluan dan pelayan tempatan sendiri, bukan sekadar membangunkan aplikasi berasaskan platform pihak lain.
“Kalau nak cakap pasal ‘digital sovereignty’ inilah, buat dengan serius. Kita perlukan peta sendiri, data trafik sendiri, enjin laluan sendiri, server di negara sendiri. Bukan tampal aplikasi atas platform orang,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Hafiz Ariffin


