KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin meruncing sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Keprihatinan Seri Paduka Baginda mendorong Istana Negara mengambil langkah proaktif mengadakan perbincangan bagi memperkasakan sistem aduan dan kaunseling untuk membantu remaja yang berdepan tekanan emosi serta pelbagai cabaran kehidupan.
Perbincangan itu diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dengan penglibatan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Ia memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh saluran aduan dan bantuan yang mudah diakses, selamat serta berkesan selain meningkatkan sistem sokongan kepada pelajar yang memerlukan perhatian.
Usaha itu turut melibatkan Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International) melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kaunselor berdaftar dan terlatih dengan Lembaga Kaunselor Malaysia.
Menerusi hantaran di akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dilaporkan sebagai bertitah:
“Kesihatan mental kanak-kanak dan anak remaja kita mesti diberi keutamaan. Mereka perlu tahu bahawa kita menyayangi mereka.
“Ianya merupakan amanah kita semua tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pekerjaan kita untuk menjaga kesihatan mereka dari segi fizikal, mental dan mengambil berat emosi yang mereka rasai semasa di rumah atau di sekolah”
Baginda turut bertitah kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental perlu terus dipertingkatkan supaya tanda-tanda tekanan emosi dapat dikenal pasti lebih awal dan bantuan sewajarnya diberikan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


