KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi yang juga pengasas parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan susulan pelbagai dakwaan yang dibuat terhadapnya dalam sidang media semalam.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau berbincang dengan pasukan peguamnya yang berpendapat terdapat asas kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ramanan.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat Ramanan dalam sidang media berkenaan termasuk tuduhan beliau terlibat dalam rasuah didakwa telah melanggar batas yang ditetapkan undang-undang fitnah negara.
“Ekoran dari satu sidang media yang dibuat oleh Ramanan, Naib Presiden
PKR dan Menteri Sumber Manusia semalam, saya telah menyerahkan video dan transkrip kepada pasukan peguam.
“Dalam sidang media semalam, Ramanan membuat pelbagai tohmahan terhadap saya, termasuk menuduh saya terlibat di dalam rasuah.
“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya dan mereka berpendapat ada asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap Ramanan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Rafizi berkata, tindakan tersebut juga wajar diambil memandangkan Ramanan didakwanya masih mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berkaitan rasuah yang dibangkitkan terhadap beliau.
Menurutnya, keengganan Ramanan mengambil tindakan saman terhadapnya tidak menghalang beliau daripada membawa pertikaian berkenaan ke mahkamah.
“Jika Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan-tohmahan yang dibuat terhadap saya,” katanya. – MYNEWSHUB


