KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.
Perkembangan itu menyusul selepas pihak media menerima jemputan menghadiri sidang media khas yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak.
Memetik laporan media, sidang media khas berkenaan dijadual berlangsung di Kompleks Satria Pertiwi di sini pada pukul 3.30 petang.
Abang Johari juga dilaporkan dijangka menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN.
Penggal DUN Sarawak Ke-19 yang bermula pada 14 Februari 2022 sepatutnya tamat secara automatik pada 14 Februari 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Terdahulu, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mengesahkan persidangan pada 12 hingga 21 Oktober lalu merupakan persidangan terakhir bagi penggal semasa.
Pada PRN Ke-12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari memperoleh kemenangan besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.
Keputusan berkenaan membolehkan GPS meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga. – MYNEWSHUB


