SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan sedang menyiasat dua kes berasingan membabitkan penyebaran kandungan media sosial yang disyaki mempunyai unsur hasutan, penghinaan serta dakwaan tidak benar.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, polis turut giat mengesan pemilik akaun media sosial yang disyaki memuat naik kenyataan berunsur hasutan, penghinaan serta dakwaan tidak benar.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kesalahan di bawah Akta Hasutan boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Sementara itu, Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Alzafny berkata, PDRM turut mengambil maklum titah Raja-Raja Melayu melalui kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Oktober lalu yang menyeru semua pihak mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta menghormati adab, adat dan maruah institusi diraja.
Katanya, sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran sah dan berautoriti berlandaskan undang-undang.
“PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau menegaskan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional, telus dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak, manakala tindakan penguatkuasaan berlandaskan bukti serta undang-undang yang berkuat kuasa. – MYNEWSHUB


