KUALA LUMPUR – Parti BERSAMA mempersoalkan tindakan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam sedangkan aplikasi lain yang mempunyai fungsi serupa turut mengumpul data lokasi pengguna.
Jurucakapnya, Seah Jhen Pei berkata, kerajaan perlu menjelaskan kriteria digunakan untuk menentukan Waze membawa risiko keselamatan berbanding aplikasi navigasi lain.
“Apakah kriteria yang digunakan kerajaan untuk menentukan Waze membawa risiko? Adakah laporan penilaian risiko yang rasmi? Bagaimana pula dengan aplikasi lain yang mempunyai fungsi serupa dan turut mengumpul data lokasi?” soalnya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, satu-satunya alasan yang dinyatakan dalam surat arahan kerajaan adalah Waze berpangkalan di Israel, tetapi tanpa sebarang penjelasan mengenai keselamatan data atau penilaian risiko teknikal.
Katanya, arahan yang dikeluarkan dan berkuat kuasa pada hari sama itu turut menimbulkan persoalan mengenai skop pelaksanaannya.
Antaranya, sama ada larangan berkenaan meliputi telefon peribadi penjawat awam, penggunaan di luar waktu bekerja serta ketersediaan aplikasi alternatif bagi petugas barisan hadapan seperti polis, ambulans dan bomba.
Jhen Pei berkata, BERSAMA lebih prihatin terhadap keselamatan data peribadi seluruh rakyat dan ekosistem data negara berbanding isu satu aplikasi navigasi semata-mata.
Katanya, insiden kebocoran data yang berulang kali berlaku dalam sektor awam dan swasta menunjukkan ancaman sebenar terhadap keselamatan maklumat rakyat jauh lebih luas.
Beliau turut membangkitkan kerugian akibat penipuan dalam talian yang didakwanya meningkat daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.
“Ancaman sebenar kepada rakyat bukanlah sebuah aplikasi navigasi, tetapi kelompangan dalam keseluruhan kerangka perlindungan data negara,” katanya. – MYNEWSHUB


