KUALA LUMPUR – Parti BERSAMA menegaskan keselamatan data tidak sepatutnya dijadikan sekadar gimik politik sementara, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara yang berterusan, telus dan berlandaskan piawaian.
Jurucakapnya, Seah Jhen Pei berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan menyeluruh berhubung larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam serta kesiapsiagaan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif.
“Keselamatan data tidak sepatutnya menjadi sekadar gimik politik sementara, sebaliknya perlu menjadi tadbir urus negara yang berterusan, telus dan berlandaskan piawaian,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, keputusan melarang Waze secara serta-merta dipersoalkan apabila TuJu yang disyorkan kerajaan dilaporkan mengalami gangguan perkhidmatan hanya sehari selepas diperkenalkan sebagai alternatif.
Katanya, kerajaan juga perlu menjelaskan pihak yang mempunyai kawalan terhadap data lokasi pengguna TuJu yang dibangunkan bersama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Beliau mempersoalkan sama ada data berkenaan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi serta pihak yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kebocoran.
Sehubungan itu, BERSAMA menggesa Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menggubal garis panduan terbuka dan seragam mengenai penggunaan aplikasi pada peranti kerajaan.
Parti itu turut menuntut kerajaan mendedahkan hasil penilaian risiko yang menjadi asas larangan Waze, selain menjelaskan kos pembangunan TuJu, proses perolehan dan mekanisme audit keselamatannya.
BERSAMA juga mencadangkan Akta Perlindungan Data Peribadi dipinda supaya meliputi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Selain itu, kerajaan digesa menjalankan kajian menyeluruh terhadap insiden kebocoran data di agensi kerajaan sebelum ini serta mengumumkan langkah penambahbaikan dan tindakan akauntabiliti.
Jhen Pei berkata, kerajaan perlu bertindak secara bertanggungjawab dengan memberikan penjelasan yang jelas kepada penjawat awam dan seluruh rakyat. – MYNEWSHUB


