KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai tidak berkesan dan mempersoalkan kos yang ditanggung kerajaan untuk membangunkannya.
Penasihat DAP itu berkata, beliau menerima aduan pengguna mengenai kelemahan aplikasi berkenaan yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai alternatif kepada Waze.
Menurutnya, maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan TuJu hanya menyusahkan mereka, malah ada yang berpandangan kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya bagi menggantikan Waze.
“Dalam keadaan terbaik sekalipun masih mempunyai kecacatan, manakala dalam keadaan terburuk pula gagal berfungsi,” katanya menerusi satu kenyataan.
Guan Eng turut mempersoalkan individu yang bertanggungjawab meyakinkan Anwar bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi mencukupi untuk menggantikan Waze.
“Jelas sekali, Perdana Menteri telah diberikan nasihat yang salah.
“Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TuJu?” soalnya.
Beliau menegaskan individu yang bertanggungjawab memberikan keyakinan tersebut kepada Perdana Menteri wajar dipersalahkan dan dikenakan tindakan.
Katanya, walaupun usaha melindungi keselamatan data dan kedaulatan digital negara disokong, aplikasi pengganti perlu melalui penilaian serta ujian ketat sebelum diperkenalkan kepada pengguna.
Guan Eng turut mempersoalkan sama ada pihak yang mereka bentuk TuJu mendapatkan nasihat pakar antarabangsa dari Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun.
Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar menilai semula perancangan berkenaan dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi TuJu yang lebih baik dan benar-benar mampu menggantikan Waze. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lim Guan Eng


