KUCHING – Tindakan seorang pelajar tidak melarikan diri, sebaliknya membantu melindungi gurunya dengan memeluk seorang pelajar lain yang bertindak menyerang menggunakan kapak di sebuah sekolah antarabangsa di sini, semalam, mendapat pujian netizen.
Keberanian pelajar berkenaan menjadi perhatian selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial, memperlihatkan dia cuba menenangkan keadaan ketika gurunya berdepan situasi berbahaya.
Menerusi hantaran Facebook, Nelly U. Laing menyifatkan tindakan pelajar terbabit sebagai sesuatu yang menyentuh hati kerana memilih untuk kekal bersama gurunya ketika kejadian.
“Budak yang seorang ni tidak melarikan diri. Sebaliknya, dia memeluk budak yang menyerang itu. Bayangkan betapa beraninya seorang murid yang berada dalam keadaan begitu,” katanya.
Hantaran itu turut mendapat reaksi netizen yang memuji keberanian pelajar berkenaan.
“He’s a real hero… both teacher Suzi & this boy managed to subdue the assailant,” komen InaRis Senk.
Eva Melissa Macpherson pula menyifatkan pelajar tersebut sebagai wira kerana sanggup berdepan bahaya demi membantu gurunya.
“You are real hero,” katanya.
Sementara itu, Andy DM berpandangan berdasarkan bahasa tubuh pelajar terbabit, ada kemungkinan dia mengenali rapat pelajar yang menyerang itu.
Seorang lagi pengguna Facebook, Suzylyn Delvester turut mengemukakan pandangan yang sama:
“Boleh jadi tu kawan dia.. Tahu masalah yang dia hadapi.. Jadi dia peluk kawan dia tu untuk redakan kemarahan.. Tiada yang lebih berani memeluk kita dalam keadaan terganggu melainkan orang yang betul-betul kenal kita”
Sementara itu, Bridgette Donald mendakwa kedua-dua pelajar itu memang berkawan. Beliau turut memaklumkan guru yang cedera mengajar Bahasa Malaysia. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Nelly U. Laing



