SEPANG – Unit anjing pengesan (K9) akan mula ditempatkan di beberapa lokasi strategik dalam terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 26 Oktober ini bagi memperkukuh kawalan keselamatan.
Malaysia Airports dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu merupakan sebahagian daripada 17 inisiatif mempertingkat keselamatan lapangan terbang, termasuk mengesan barangan larangan serta mencegah ancaman di kawasan awam dan zon larangan.
Penempatan unit K9 melibatkan tiga kawasan utama iaitu Balai Berlepas, Balai Ketibaan dan kawasan pengasingan bagasi bagi melengkapkan sistem keselamatan sedia ada.
Di kawasan daftar masuk, unit berkenaan akan membantu mengesan lebih awal barangan larangan dan potensi ancaman keselamatan melibatkan penerbangan tertentu.
Unit K9 turut ditempatkan di kawasan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengesan dadah, barangan larangan dan aktiviti penyeludupan.
Sementara itu, pemeriksaan di kawasan pengasingan bagasi bertujuan memastikan keselamatan bagasi sebelum dimuatkan ke pesawat atau dihantar ke kawasan tuntutan bagasi.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, langkah tersebut akan memperkukuh perlindungan terhadap penumpang, pengunjung dan kakitangan lapangan terbang.
Menurutnya, kerjasama berkenaan juga membolehkan anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama melindungi pengguna dan kemudahan lapangan terbang.
Malaysia Airports akan terus bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKDM serta unit K9 bagi memastikan KLIA kekal selamat, selesa dan bersih.
Bagi melancarkan pelaksanaan, KLIA akan menyelaras prosedur operasi standard (SOP), akses khas untuk unit K9 dan pengendalinya serta menyediakan kemudahan sokongan termasuk kawasan rehat anjing pengesan.
Fasa percubaan turut dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi penempatan dan menentukan keperluan pelarasan aliran penumpang serta jadual operasi. – MYNEWSHUB


