KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam berhubung isu mafia korporat berpusing-pusing dan cuba mengelak daripada menjawab kontroversi sebenar.
Pengasas Parti BERSAMA yang juga bekas Menteri Ekonomi itu berkata, Anwar sebaliknya memberikan penjelasan mengenai jenayah korporat yang pernah berlaku sebelum ini, seolah-olah mahu menggambarkan isu berkenaan bukan sesuatu yang baharu.
Menurut Rafizi, skandal mafia korporat sebenarnya merujuk kepada dakwaan wujudnya kumpulan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersekongkol dengan ahli perniagaan tertentu.
Katanya, kumpulan itu didakwa menggunakan ugutan terhadap ahli perniagaan lain bagi memaksa mereka menyerahkan syarikat masing-masing.
Lebih membimbangkan, beliau berkata, terdapat juga dakwaan individu tertentu menggunakan kaedah berkenaan untuk mencuci wang haram daripada kegiatan jenayah yang sering dikaitkan dengan kongsi gelap.
“Tuduhan mengenai mafia korporat ini adalah luar biasa kerana ia mempersoalkan sama ada kumpulan jenayah haram telah menyusupi agensi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rafizi menegaskan, persoalan utama mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh anggota agensi penguatkuasaan itu langsung tidak disentuh Anwar dalam jawapannya di Parlimen.
Sebaliknya, beliau mendakwa Perdana Menteri cuba mengelirukan orang ramai dengan mengaitkan kontroversi mafia korporat dengan jenayah kolar putih yang pernah berlaku sebelum ini.
“Persoalan pokok mengenai mafia korporat tidak disentuh atau dijawab langsung oleh Dato’ Seri Anwar,” katanya.
Terdahulu, beliau mendakwa kenyataan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam boleh diertikan sebagai mengesahkan tindakan saman telah diambil oleh menteri yang didakwa menerima RM9.5 juta untuk menyelesaikan masalah mafia korporat.
Menurut beliau, itu adalah satu pembohongan di Dewan Rakyat kerana beliau belum menerima apa-apa writ saman dari menteri berkenaan hingga sekarang. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Rafizi Ramli


