KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kelemahan besar dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) membabitkan syarikat eFishery di Indonesia yang mengalami kerugian RM160 juta adalah kerana terlalu mengikut trend pelaburan antarabangsa.
Menurut Anwar, pelaburan berkenaan dibuat berdasarkan keyakinan terhadap penyertaan syarikat dan institusi pelaburan besar dari luar negara tanpa penelitian secukupnya terhadap risiko sebenar.
“Tetapi saya lihat umpamanya pelaburan di Jakarta yang baru ini, itu memang satu kelemahan besar kerana mereka hanya ikut ‘trend international’ kerana syarikat-syarikat besar yang berupaya di Perancis dan beberapa negara luar ikut jadi mereka rasa cukup,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang membangkitkan kerugian RM160 juta wang awam KWAP dalam pelaburan eFishery serta langkah kerajaan memperketatkan proses penelitian wajar atau due diligence.
Sepanjang memberikan penjelasan mengenai kerugian pelaburan wang awam itu, Anwar dilihat tidak menyebut perkataan ‘sakau’
Anwar menjelaskan, penelitian mendapati KWAP sebenarnya mempunyai prosedur pelaburan yang teratur dan ketat, termasuk melalui jawatankuasa penelitian wajar, jawatankuasa pelaburan dan lembaga pengarah.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud kelemahan apabila keputusan pelaburan terlalu bergantung kepada keyakinan terhadap institusi antarabangsa termasuk SoftBank.
“Cuma dalam kes ini, oleh kerana bergantung pada SoftBank. Tak mungkin SoftBank melabur dengan begitu cuai. Tapi kenyataannya begitu,” katanya.
Tegas Anwar, kerajaan mengambil langkah memperketatkan lagi peraturan pelaburan bagi memastikan amanah wang rakyat dijaga dan keputusan tidak lagi dibuat semata-mata berdasarkan trend antarabangsa.
Beliau turut menegaskan, kelemahan dalam kes berkenaan tidak seharusnya menafikan prestasi keseluruhan KWAP yang mencatatkan keuntungan lumayan serta rekod baharu baru-baru ini.
“Tapi kelemahan itu kita harus akui,” katanya. – MYNEWSHUB


