KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada pihak yang menegur kehadirannya ke konsert Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Anwar dipercayai secara berseloroh mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan sambil menyentuh mengenai golongan yang dianggap warak dan tidak pernah mendengar lagu.
“Tapi untuk itu ditegur oleh beberapa rakan. Terima kasihlah kerana yang tegur tu yang warak-warak pun tak pernah dengar lagu,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kehadirannya ke Konsert Tradisional Gema Bumantara adalah atas permintaan Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang bersungguh-sungguh mengundangnya.
“Saya pergi kerana Siti Nurhaliza dan suami, Datuk K mohon sangat-sangat saya hadir. Memang betullah, saya bukanlah minat tapi saya pun hadir walaupun pergi lambat sikit,” katanya.
Anwar turut mengakui dirinya mempunyai minat terhadap pelbagai genre muzik termasuk lagu Melayu, Inggeris dan Hindustan.
“Saya ni ada kelemahan kerana minat juga lagu bukan lagu Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mempertahankan persembahan berkenaan yang disifatkannya sebagai usaha memperkasa budaya Melayu dan warisan seni negara.
Menurutnya, konsert tersebut turut mengetengahkan wayang kulit, tarian tradisional serta persembahan kebudayaan Sabah dan Sarawak yang membanggakan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan secara berseloroh meminta Perdana Menteri mengajaknya bersama sekiranya menghadiri konsert Siti Nurhaliza pada masa akan datang.
“Cuma, Perdana Menteri, kalau pergi tengok konsert Siti itu, ajaklah kami. Kami sanggup basah bersama,” katanya.
Pada Sabtu lalu, Anwar menghadiri Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menarik kira-kira 63,000 penonton walaupun berlangsung dalam keadaan hujan. – MYNEWSHUB


