SHAH ALAM – Pentadbiran Istana Selangor mengambil maklum dan menerima laporan polis berhubung individu yang didakwa menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor sehingga memperdayakan orang awam.
Individu terbabit didakwa menggunakan kedudukan palsu itu bagi meyakinkan orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kereta mewah untuk meraih keuntungan peribadi.
Menurut kenyataan media Pejabat Sultan Selangor hari ini, pentadbiran istana memandang serius perkara berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh secara adil dan telus.
“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berhubung sebarang dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu tertentu dengan nama istana sebelum melakukan sebarang urusan. – MYNEWSHUB


