JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mencipta sejarah bola sepak apabila mencatat rekod luar biasa 114 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah, sekali gus mengukuhkan kedudukan kelab itu sebagai kuasa dominan bola sepak Malaysia.
Berdasarkan infografik rasmi Johor Southern Tigers bertarikh 18 Oktober 2026, Harimau Selatan mencatat rekod dunia bagi rentetan perlawanan liga tanpa kalah paling panjang, bermula April 2021 hingga kini.
Lebih membanggakan, JDT turut mencatat satu lagi pencapaian hebat apabila merekodkan 86 perlawanan liga di tempat lawan tanpa kalah sejak Mac 2018.
Kedua-dua pencapaian itu membuktikan konsistensi luar biasa skuad Harimau Selatan yang terus mengekalkan penguasaan dalam saingan domestik sejak beberapa musim lalu.
Rekod berkenaan turut mencerminkan kekuatan pasukan dari segi pengurusan, pembangunan pemain, keupayaan taktikal serta kesinambungan prestasi di bawah kepimpinan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail.
Pencapaian terbaharu itu diumumkan menerusi hantaran rasmi Johor Southern Tigers dengan mesej ringkas, “Records Rewritten Yesterday” atau rekod ditulis semula semalam.
Kejayaan tersebut hadir ketika JDT terus mendahului saingan Liga Super 2026/2027, sekali gus mengukuhkan reputasi Harimau Selatan sebagai pasukan paling dominan dalam landskap bola sepak negara. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Johor Southern Tigers


