PUNCAK ALAM – Mynewshub merujuk laporan bertajuk “Resolusi Benar Hidangan Arak, Daging Babi Di Dewan Komuniti Dikhuatiri Cetus Polemik” yang diterbitkan pada 17 Oktober 2026.
Mynewshub ingin membetulkan tajuk dan tafsiran dalam laporan tersebut yang memberikan gambaran bahawa cadangan resolusi berkenaan turut bertujuan membenarkan penyajian atau pengambilan arak.
Berdasarkan penjelasan Jawatankuasa Pengurusan Graham Garden dan dokumen cadangan resolusi yang dirujuk, cadangan mengenai makanan tidak halal serta keperluan pembersihan tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai cadangan membenarkan arak.
Tiada kebenaran sedemikian dicadangkan.
Agenda No. 15 menyentuh cadangan membenarkan makanan tidak halal dihidangkan atau dimakan di Dewan Komuniti dan Dewan Serbaguna, tertakluk kepada proses pembersihan yang disebut sebagai “samak” dalam dokumen berkenaan.
Kos pembersihan dicadangkan ditanggung pemilik yang membuat tempahan.
Sementara itu, cadangan di bawah Agenda No. 18 berkaitan kawasan acara persendirian berhampiran gazebo secara jelas melarang pengambilan atau penyajian alkohol melalui Klausa 40(g).
Dalam perkembangan terkini, cadangan resolusi berkenaan telah ditolak dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-4 Perbadanan Pengurusan Graham Garden yang berlangsung hari ini, 18 Oktober 2026.
Oleh itu, cadangan tersebut tidak diluluskan untuk dilaksanakan.
Mynewshub mengakui penggunaan perkataan “arak” dalam tajuk asal adalah tidak tepat dalam menggambarkan kandungan cadangan resolusi tersebut.
Kami memohon maaf kepada pihak pengurusan, penduduk Graham Garden dan pembaca atas kekeliruan yang timbul.
Pembetulan ini turut terpakai kepada tajuk serta poster yang mengiringi laporan asal. – MYNEWSHUB

