KUALA LUMPUR – Perkongsian seorang pempengaruh dikenali sebagai Cikgu Asai mengenai pengalaman dibuli ketika zaman persekolahan mengundang reaksi pengguna media sosial yang turut tampil menceritakan pengalaman masing-masing.
Beberapa Netizen mendakwa ramai pembuli yang pernah berlagak samseng ketika di sekolah berdepan pelbagai kesulitan hidup setelah dewasa, malah ada yang didakwa menganggur, mengalami masalah kesihatan dan keruntuhan rumah tangga.
Seorang pengguna Facebook mendakwa ramai individu yang dahulunya terkenal sebagai pembuli kini menjalani kehidupan yang menyedihkan.
“Saya tengok ramai pembuli jadi ‘loser’ sekarang ini. Masa sekolah dulu taiko sangat. Mereka ini menganggur, tiada kerja, duduk rumah tidak keluar-keluar, jadi penakut dan pemalu nak berjumpa dengan orang.
“Kesilapan mereka menghantui mereka. Mereka tidak dapat maafkan diri mereka sendiri. Mereka merana sebenarnya,” tulisnya di ruangan komen.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook berkongsi pengalaman hampir sama ketika bersekolah di sebuah sekolah terkenal.
Menurutnya, dia bertahan sehingga Tingkatan Tiga dan kini mengakui berasa puas apabila melihat individu yang pernah membulinya berdepan pelbagai masalah kehidupan.
“Ada yang masalah kesihatan, ada yang bisnes lingkup, ada yang anak-anak tak jadi manusia, ada yang rumah tangga huru-hara,” dakwanya.
Dia mengakui masih menyimpan dendam terhadap individu terbabit meskipun kejadian buli itu sudah berlalu hampir 30 tahun.
“Setiap doa pasti saya akan selitkan nama-nama pembuli ini agar mereka terima pembalasan yang setimpal di dunia.
“Saya tidak sekali-kali akan maafkan. Sebab sudah hampir 30 tahun memang saya menanti-nanti pembalasan dan bala hadir kepada mereka,” katanya. – MYNEWSHUB


