KUALA LUMPUR – Peguam yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar bersetuju cadangan mewujudkan penempatan khas untuk pelarian Rohingya yang diurus dan dikawal selia secara sistematik wajar dipertimbangkan.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan aspek kebajikan, keselamatan, kesihatan dan pendidikan pelarian diurus lebih teratur, selain memastikan keberadaan mereka tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat tempatan.
“Saya bersetuju bahawa cadangan mewujudkan penempatan khas bagi pelarian Rohingya yang diurus dan dikawal selia secara sistematik wajar dipertimbangkan.
“Namun, penempatan ini mestilah tertakluk kepada peraturan yang jelas, kawalan keselamatan, pendaftaran penghuni serta pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya menerusi hantaran media sosial.
Zainul Rijal turut menegaskan, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) perlu memainkan peranan lebih besar termasuk menyediakan pembiayaan, kemudahan asas, kepakaran pengurusan dan bantuan kemanusiaan.
“Malaysia tidak seharusnya dibiarkan memikul beban ini secara bersendirian, sedangkan isu pelarian Rohingya merupakan masalah kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan kepentingan penduduk tempatan mesti sentiasa diutamakan tanpa mengabaikan tanggungjawab kemanusiaan.
Semalam, seorang Ahli Parlimen di Parlimen mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat penempatan terkawal bagi pelarian Rohingya seperti Pulau Bidong yang pernah dijadikan kem pelarian Vietnam. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Zainul Rijal Abu Bakar


