KUALA LUMPUR – Parti BERSAMA menyifatkan cadangan pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya pekerja asing dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum sebagai tidak masuk akal dari sudut ekonomi.
Pemimpin BERSAMA, Lee Chean Chung dan jurucakap dasarnya, Sum Dek Joe berkata, membayar gaji lebih rendah kepada pekerja asing hanya menjadikan mereka lebih murah untuk diambil bekerja.
Menurut mereka, keadaan itu akan menggalakkan majikan terus bergantung kepada pekerja asing berbanding mengambil pekerja tempatan atau melabur dalam automasi.
“Pada masa ini, satu daripada setiap lapan orang yang bekerja di Malaysia merupakan pekerja asing.
“Cadangan ini hanya akan memburukkan lagi kebergantungan negara terhadap buruh murah, sekali gus mengurangkan dorongan kepada syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan membayar gaji yang lebih tinggi.
“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Lim sepatutnya memahami asas ekonomi ini. Malaysia tidak memerlukan satu lagi cadangan populis yang akan menyebabkan ekonomi kita terus terperangkap dalam model gaji rendah,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Chean Chung dan Dek Joe turut menggesa Guan Eng serta seorang lagi pemimpin DAP, Teng Chang Khim supaya berhenti menjadikan isu gaji minimum sebagai medan pertelingkahan dalaman parti.
Mereka turut mendakwa Chang Khim tersilap merujuk Konvensyen No. 100 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang berkaitan kesamarataan gaji lelaki dan wanita ketika mempertikaikan cadangan Lim.
Dalam masa sama, kedua-duanya mempersoalkan cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 dengan pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjualan tahunan bawah RM50 juta.
Menurut mereka, pengecualian itu boleh menyebabkan ramai pekerja tempatan bergaji rendah tercicir daripada menikmati kenaikan tersebut.
BERSAMA sebaliknya mencadangkan peluasan Kerangka Gaji Progresif dan pelaksanaan Levi Pekerja Asing Berperingkat bagi meningkatkan gaji serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing. – MYNEWSHUB


