SEREMBAN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan keadaan sebuah kerajaan negeri yang hanya mempunyai Menteri Besar tanpa seorang pun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebagai sesuatu yang pelik dan tidak boleh dibiarkan berpanjangan.
Beliau berkata, banyak keputusan dan urusan pentadbiran negeri memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menerusi hantaran di media sosial, Anthony Loke menegaskan DAP tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha yang mencetuskan krisis politik dan perlembagaan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Menurutnya, DAP kini bukan lagi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri, justeru parti itu tidak seharusnya terus dikaitkan atau dijadikan alasan terhadap kemelut berkenaan.
“Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan oleh DAP,” tegasnya.
Anthony Loke berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, manakala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan Menteri Besar mengemukakan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan EXCO.
Katanya, tiada masalah untuk pentadbiran diteruskan kerana BN boleh mengemukakan calon lain bagi mengisi jawatan berkenaan.
“Namun, sebuah Kerajaan Negeri yang hanya mempunyai seorang Menteri Besar tanpa seorang pun ahli EXCO sememangnya sesuatu yang pelik.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana banyak keputusan dan urusan pentadbiran memerlukan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pergolakan politik di Negeri Sembilan seolah-olah tiada kesudahan selain melibatkan pelbagai aspek di luar bidang tugas DAP.
Sehubungan itu, Anthony Loke mengingatkan seluruh wakil rakyat dan pimpinan DAP supaya terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing sebagaimana ditegaskan dalam Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Ke-24.
Katanya, fokus DAP ketika ini adalah memperkukuh parti, mempersiapkan jentera dan meneruskan khidmat kepada rakyat.
“Sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, tanggungjawab DAP kepada rakyat tidak pernah berubah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anthony Loke Siew Fook


