TAHUKAH anda bahawa dokumen seperti perjanjian jual beli, pindah milik hartanah, saham, perniagaan, sewaan, pinjaman dan kontrak perkhidmatan tertakluk kepada duti setem mengikut Akta Setem 1949?
Duti setem adalah cukai ke atas dokumen tertentu yang lazimnya perlu disetemkan dalam tempoh 30 hari selepas ditandatangani di Malaysia.
Walaupun dokumen persendirian tidak semestinya diketahui Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), kegagalan menyetemkannya boleh menyulitkan urusan rasmi serta menyebabkan tunggakan dan penalti.
Malah, dokumen yang tidak disetemkan dengan sempurna secara amnya tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah sehingga syarat penyeteman dipenuhi.
Bagaimanapun, perjanjian tidak semestinya terbatal dan masalah boleh diperbetulkan melalui pembayaran duti serta penalti berkaitan.
Akan tetapi ada berita baik, HASiL sedang menawarkan pengecualian penalti sepenuhnya menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.
Program ini meliputi dokumen yang ditandatangani antara 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 tetapi belum disetemkan, dengan syarat penyeteman dan pembayaran diselesaikan sebelum tarikh akhir.
Pengecualian penalti di bawah Seksyen 47A Akta Setem 1949 diberikan secara automatik tanpa rayuan melalui sistem e-Duti Setem di Portal MyTax.
Penalti yang masih tertera pada Borang Nyata Duti Setem atau Notis Taksiran akan dipaparkan sebagai “Penalti Dihapuskan” selepas bayaran dibuat menerusi sistem e-Duti Setem (EDS).
Kemudahan ini terbuka kepada individu termasuk bukan warganegara, syarikat, firma guaman, setiausaha syarikat dan agensi.
Dokumen yang dikemukakan sebelum 1 Januari 2026 tetapi belum dibayar masih layak, manakala penalti yang sudah dijelaskan sebelum tarikh tersebut tidak akan dipulangkan.
Bagaimanapun, dokumen bertarikh 2026 serta kes melibatkan penipuan, pemalsuan atau cubaan sengaja mengelakkan duti tidak layak menikmati pengecualian.
PKPS diperkenalkan seiring pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) bermula 1 Januari 2026 bagi memudahkan peralihan kepada penyeteman dalam talian serta menggalakkan pematuhan sukarela.
Orang ramai dinasihatkan menyemak dokumen lebih awal bagi mengelakkan kelewatan akibat maklumat tidak lengkap atau kesilapan. Bayaran selepas 31 Disember 2026 akan dikenakan penalti mengikut undang-undang.
Penyeteman yang sempurna membantu memenuhi kewajipan undang-undang, memudahkan urusan rasmi dan penggunaan dokumen dalam prosiding rasmi.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui garis panduan, FAQ dan infografik di Portal Rasmi HASiL, Hasil Contact Centre, HASiL Live Chat, Borang Maklum Balas atau Pejabat HASiL.
Semak dokumen anda sekarang dan manfaatkan PKPS Duti Setem 2026 sebelum 31 Disember 2026. – MYNEWSHUB


