SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan menjelaskan bahawa kehadiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, penjelasan itu dibuat susulan laporan media hari ini bahawa baginda telah menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.
“Selain itu, Ke Bawah Duli Tuanku juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja (Pre-Council Meeting),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, Tuanku Muhriz telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Menurutnya, baginda sebaliknya akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.
Dalam pada itu, Istana Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara berkenaan sebelum ini.
“Tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak istana berhubung perkara ini sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media,” menurut kenyataan itu. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Kenyataan Media: Akaun Media Sosial Undang Berkhalifah


