KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan anak muda supaya berani berdiri di pihak yang benar, menentang rasuah, menolak penindasan dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk ketidakadilan.
Menurut beliau, generasi muda hari ini mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan prinsip, menegakkan keadilan serta membawa perubahan demi membina sebuah negara yang berintegriti dan bermaruah.
Anwar menyampaikan pesanan itu ketika menghadiri International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 yang menghimpunkan ribuan anak muda tempatan serta peserta antarabangsa.
“Saya menitipkan pesanan agar anak muda berani berdiri di pihak yang benar, menentang rasuah, menolak penindasan dan tidak sesekali berkompromi dengan ketidakadilan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Perdana Menteri menegaskan, tanggungjawab mempertahankan prinsip dan memperjuangkan keadilan merupakan amanah penting yang perlu dipikul oleh generasi muda dalam menentukan hala tuju masa depan negara.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan terus komited membangunkan bakat dan kepimpinan anak muda supaya mampu menjadi generasi berwibawa serta memiliki pandangan global.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan golongan muda bukan sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan negara, malah memainkan peranan bermakna dalam masyarakat antarabangsa.
Anwar turut menzahirkan harapan agar anak muda hari ini tampil sebagai pemimpin yang berprinsip, beramanah dan berani dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Moga anak muda hari ini tampil sebagai pemimpin yang berprinsip, beramanah dan berani, seterusnya memikul tanggungjawab menerajui Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


