KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Eric Lim Sian See sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran terbaharu bertanyakan tentang maksud beberapa perkataan ketika dirinya masih berhadapan kontroversi berhubung penggunaan istilah ‘Lighad’
Menerusi hantaran ringkas di media sosial, Eric Lim menyenaraikan lapan perkataan sambil mengemukakan pertanyaan mengenai istilah berkenaan.
“Apa mende (benda) ini? Waad, Lighad, Pranata, Inayat, Ketimbang, Dasarwarsa, Kendatipun, Fallasuf,” tulisnya.
Hantaran terbaharu itu dibuat ketika Eric Lim masih menjadi perhatian susulan kontroversi berkaitan tindakannya mempersoalkan penggunaan perkataan tertentu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.
Kontroversi berkenaan bermula apabila Eric Lim memberi komen terharap penggunaan beberapa istilah yang jarang didengar dalam ucapan Anwar termasuk perkataan ‘Lighad’
Komen berkenaan kemudiannya mencetuskan kecaman apabila tangkap layar yang menggabungkan kenyataannya dengan petikan ayat al-Quran tersebar di media sosial.
Beberapa pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Ketua Pemuda UMNO mengecam komen itu kerana didakwa menghina dan memperlekeh ayat suci al-Quran.
Bagaimanapun, Eric Lim mempertahankan dirinya dengan menjelaskan bahawa komen asalnya hanya menyentuh penggunaan istilah berkenaan dalam ucapan Perdana Menteri dan bukannya bertujuan menghina al-Quran.
Beliau turut menegaskan tidak tahu perkataan Arab itu turut terkandung dalam al-Quran ketika membuat komen tersebut.
Beliau juga mendakwa petikan ayat al-Quran yang tersebar bersama komennya ditambah oleh pihak lain bagi memberikan gambaran seolah-olah beliau sedang mempersendakan kitab suci umat Islam.
Eric Lim kemudian menyatakan hasrat membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwanya menyunting dan menambah petikan berkenaan pada tangkap layar komennya sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Kontroversi itu turut menarik perhatian bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tampil mempertahankan Eric Lim menerusi ruangan komen hantaran berkenaan.
“Eric, anda tidak salah. Ia hanya salah faham akibat perangkap ceplos. Teruskan memburu,” tulis Nik Abduh. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See



