KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah hubungan persahabatan antara Malaysia dan Mesir semakin kukuh berlandaskan prinsip saling menghormati, mempercayai serta persefahaman yang baik antara kedua-dua negara.
Seri Paduka Baginda menzahirkan perkara itu susulan menerima menghadap Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi, sempena Lawatan Negara pemimpin berkenaan ke Malaysia hari ini.
Menurut hantaran menerusi akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Presiden Al-Sisi di Istana Negara pada pukul 10 pagi disambut mesra oleh Seri Paduka Baginda.
Ketibaan beliau kemudian disusuli Istiadat Sambutan Negara yang melibatkan pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain alunan lagu kebangsaan Mesir dan Negaraku.
Presiden Al-Sisi turut menandatangani buku pelawat sebelum berlangsung sesi memperkenalkan delegasi Malaysia dan Mesir kepada kedua-dua pemimpin.
Sebagai penghormatan sempena Lawatan Negara itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) kepada Presiden Mesir.
Seri Paduka Baginda dalam pada itu menzahirkan rasa besar hati atas kunjungan rasmi Presiden Mesir berkenaan yang disifatkan sebagai lambang hubungan persahabatan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini mencerminkan persahabatan akrab sekian lama antara Malaysia dan Mesir yang berlandaskan saling hormat, percaya dan bersefahaman.
“Pemeteraian Perkongsian Strategik dalam Lawatan Negara ini juga membuktikan komitmen kedua-dua negara ke arah kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Selesai istiadat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan meraikan Presiden Al-Sisi bersama delegasi Mesir dalam satu majlis Santapan Negara.
Presiden Al-Sisi turut memanjangkan jemputan kepada Seri Paduka Baginda untuk mengadakan Lawatan Negara ke Mesir. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


