KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil mempertahankan penganalisis politik, Eric Lim Sian See yang mencetuskan kontroversi susulan komennya mengenai penggunaan perkataan Arab ‘Lighad’ dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Nik Abduh yang juga anak kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi ruangan komen hantaran Eric Lim di Facebook menyifatkan kontroversi berkenaan hanya berpunca daripada salah faham dan bukannya kesalahan yang dilakukan pempengaruh tersebut.
Malah, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada Eric Lim supaya meneruskan tindakannya dengan menggunakan ungkapan ‘teruskan memburu’
“Eric, anda tidak salah. Ia hanya salah faham akibat perangkap ceplos. Teruskan memburu..,” tulisnya ringkas.
Ungkapan ‘teruskan memburu’ yang digunakan Nik Abduh dipercayai membawa maksud kiasan supaya Eric Lim terus lantang menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap isu politik semasa.
Terdahulu, Eric Lim menerima kecaman daripada Ketua Pengarah J-KOM serta pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) selepas komennya mengenai perkataan ‘Lighad’ dikaitkan dengan dakwaan mempersendakan ayat suci al-Quran.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut mengecam dan mendesak Eric Lim memohon maaf secara terbuka dan memaklumkan bahawa laporan polis akan dibuat berhubung kenyataan tersebut.
Bagaimanapun, Eric Lim mempertahankan dirinya dengan menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat menghina atau memperlekehkan ayat suci al-Quran.
Menurut Eric Lim, komennya dibuat berdasarkan grafik akhbar yang menyenaraikan ‘Lighad’ sebagai antara perkataan unik digunakan dalam ucapan Belanjawan 2027, dengan maksud ‘untuk masa depan’.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketika menulis komen berkenaan, dirinya tidak mengetahui perkataan tersebut turut terdapat dalam al-Quran.
Eric Lim menegaskan bahawa kritikannya hanya ditujukan kepada penggunaan perkataan berkenaan dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya terhadap mana-mana ayat suci. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Eric See-To – Lim Sian See



