KUALA LUMPUR – Hampir dua bulan menjalani rutin berulang-alik ke hospital, vokalis kumpulan Barbarik yang juga bekas anggota kumpulan rock legenda May, Muss terus setia menemani isteri tercinta yang sedang berjuang untuk kembali pulih selepas kehilangan sebelah kaki akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Di sebalik kemeriahan dunia seni yang pernah mewarnai perjalanan hidupnya, penyanyi berusia 58 tahun itu kini melalui hari-hari penuh ujian apabila sebahagian masanya dihabiskan di hospital demi memastikan insan tersayang tidak berjuang sendirian.
Menerusi hantaran terbaharu di media sosial semalam, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din berkongsi rutin hariannya yang hampir dua bulan tertumpu kepada penjagaan isterinya, Suraya Bahari.
“Maaf sebab dah lama tak update story. Saya sibuk ulang-alik hospital dah dekat dua bulan. Itulah rutin hari-hari saya, tengah hari pergi hospital, tengah malam balik rumah,” luahnya ringkas.
Bagaimanapun, di sebalik ujian yang dilalui, Muss akhirnya berkongsi sedikit khabar menggembirakan apabila keadaan kesihatan isterinya dilaporkan semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Isteri saya semakin sembuh. Insya-Allah akan discharge next week, itu pun kalau report doktor semuanya okey,” katanya.
Muss turut menzahirkan penghargaan kepada ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan yang tidak putus-putus hadir memberikan sokongan serta melawat isterinya sepanjang menerima rawatan di hospital.
“Terima kasih kepada adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan yang datang melawat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penyanyi yang cukup dikenali dalam arena rock tanah air itu berdepan antara detik paling menyayat hati dalam hidup apabila isterinya berada dalam keadaan kritikal akibat komplikasi penyakit kencing manis.
Lebih memilukan, Suraya terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kirinya sehingga ke paras lutut susulan komplikasi penyakit berkenaan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial I’m Mus



