KUALA LUMPUR – Gelombang biru mewarnai suasana di Parlimen apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya daripada UMNO tampil mengenakan pakaian Melayu sedondon berwarna biru sempena pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Penampilan seragam itu mencuri perhatian apabila pemimpin BN hadir dengan persalinan warna yang sama, sekali gus menyerlahkan identiti biru yang sinonim dengan gabungan berkenaan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau turut dilihat sempat menyapa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum pembentangan belanjawan bermula.
Penampilan berwarna biru itu turut mengingatkan kepada Agenda Malaysia Biru yang diumumkan Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, September lalu, sebagai gagasan hala tuju negara sekiranya BN kembali menerajui Putrajaya.
Menurut Ahmad Zahid, agenda berkenaan bukan sekadar membawa maksud gelombang biru, sebaliknya merangkumi aspirasi membina Malaysia yang Berdaulat dan Bersatu, Inovatif dan Berpendapatan Tinggi, Rakyat Makmur dan Saksama serta Unggul dan Disegani Dunia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut mengumumkan Agenda Malaysia Biru yang mengandungi lapan ikhtiar akan diterjemahkan dalam manifesto gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan penekanan terhadap kestabilan, kemakmuran dan cabaran masa depan negara. – MYNEWSHUB


