KUALA LUMPUR – PAS melahirkan kekesalan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput dan menerima kunjungan rasmi Min Aung Hlaing, pemimpin junta tentera Myanmar, ke Malaysia pada 7 hingga 8 Oktober lalu.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun pemimpin Myanmar itu sudah meninggalkan negara ini, kunjungan berkenaan tetap akan dikenang sebagai langkah diplomatik yang sumbang ketika Myanmar masih dibelenggu konflik bersenjata, pembunuhan beramai-ramai, penindasan politik dan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Menurutnya, sambutan rasmi dengan hamparan permaidani merah seolah-olah menyambut seorang negarawan terbilang berisiko menormalisasikan kepimpinan junta yang terus dikaitkan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia termasuk kekejaman terhadap komuniti Shan dan etnik lain di Myanmar.
Beliau berkata, PAS memahami keresahan rakyat Malaysia berhubung kebanjiran warga asing tanpa dokumen, kelemahan pengurusan pelarian, kepentingan rakyat tempatan serta ancaman keselamatan dan eksploitasi tenaga kerja.
Katanya, keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat Malaysia wajib menjadi keutamaan kerajaan, namun perkara itu tidak seharusnya menyebabkan prinsip keadilan antarabangsa dan kemanusiaan diketepikan.
“PAS tidak menolak kepentingan diplomasi dalam menyelesaikan isu warga Myanmar dan pelarian di Malaysia. Namun, ia tidak boleh mengatasi prinsip, mengetepikan keadilan antarabangsa atau mengorbankan kepentingan rakyat dan keselamatan manusia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan komitmen Malaysia terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN yang menuntut penghentian keganasan, dialog inklusif dan penyelesaian politik terhadap krisis Myanmar.
Katanya, pada 27 November 2024, Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan pengusiran dan penganiayaan etnik Rohingya.
Beliau menegaskan prinsip keadilan tidak boleh berubah mengikut identiti seseorang pemimpin atau kepentingan diplomatik, sebaliknya Malaysia perlu konsisten mempertahankan undang-undang antarabangsa sama ada membabitkan Palestin, Myanmar atau mana-mana negara.
Justeru, katanya, kerajaan wajib menjelaskan kepada rakyat sama ada kunjungan pemimpin Myanmar itu benar-benar membawa penyelesaian kepada krisis negara berkenaan atau sekadar memberikan ruang diplomatik kepada kepimpinan junta tanpa jaminan kemajuan yang nyata.
Katanya, Malaysia mesti mengutamakan kepentingan rakyat, mempertahankan maruah negara dan melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan secara tegas, adil serta berprinsip. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Fadhli Shaari


