KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2026 kepada 159 penerima dalam istiadat yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Menurut hantaran di akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan istiadat berkenaan yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman.
Pada istiadat itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada 11 pegawai kanan polis yang didahului Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali.
Turut menerima darjah berkenaan ialah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, CP Dato’ Sri Noor Hisam Nordin; Pengarah Pengurusan, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta Pengarah Jabatan Integriti dan Standard Pematuhan, CP Dato’ Aida Abdul Hamid.
Selain itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada 31 penerima, Pahlawan Pasukan Polis (PPP) kepada 44 penerima, Kesatria Pasukan Polis (KPP) kepada 15 penerima dan Bentara Pasukan Polis (BPP) kepada 58 penerima.
Penganugerahan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap jasa, pengorbanan dan khidmat bakti pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkelayakan.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), Datuk Zolkopli Dahalan dan Timbalan Pengerusinya, Martina@Kartina Zamhari di Istana Negara.
Dalam sesi mengadap yang berlangsung hampir sejam itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat mengenai peranan, fungsi serta kuasa IPCC dalam memantau dan menyiasat aduan berkaitan salah laku anggota polis.
Seri Paduka Baginda turut menerima sembah maklum mengenai statistik aduan yang diterima suruhanjaya berkenaan, termasuk status serta keputusan kes yang telah diselesaikan.
IPCC yang mula beroperasi pada 1 November 2023 berperanan mengendalikan aduan berkaitan salah laku dan tatakelakuan anggota PDRM secara bebas, telus serta berintegriti.
Suruhanjaya itu juga bertanggungjawab mengemukakan syor penambahbaikan terhadap kesejahteraan dan kebajikan anggota pasukan polis. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


