JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan jerebu rentas sempadan yang ketika ini turut menjejaskan negeri itu khususnya membabitkan kesihatan rakyat dan kualiti udara di beberapa kawasan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kebimbangan itu disampaikan ketika menerima kunjungan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto.
“Saya menyampaikan kebimbangan kerajaan negeri dan berharap segala usaha untuk menangani punca jerebu dapat terus dipergiatkan.
“Dalam perkara ini, pendekatan kita bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari jalan penyelesaian bersama kerana kesannya sudah melangkaui sempadan sesebuah negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Onn Hafiz, pencemaran udara yang merentasi sempadan dan memberi kesan kepada negara jiran termasuk Malaysia memerlukan kerjasama serantau yang lebih erat.
Sehubungan itu, beliau berpandangan ASEAN perlu memainkan peranan lebih aktif termasuk mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi menangani krisis berkenaan secara kolektif.
Katanya, negara ASEAN yang mempunyai kepakaran, aset dan keupayaan boleh tampil membantu mengikut keperluan melalui penyelarasan serta persetujuan bersama.
Beliau berkata, kerjasama yang baik membolehkan usaha pencegahan, pemantauan dan tindak balas dilaksanakan dengan lebih pantas serta berkesan demi kesejahteraan rakyat di rantau ini.
Onn Hafiz turut berharap cadangan berkenaan dapat dipertimbangkan pucuk pimpinan negara-negara ASEAN bagi membantu memulihkan keadaan secepat mungkin dan memastikan rakyat kembali menjalani kehidupan dalam persekitaran lebih selamat serta sihat. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Onn Hafiz Ghazi


