JOHOR BAHRU – Perlindungan kanak-kanak daripada eksploitasi seksual merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara semua pihak.
Perkara itu ditegaskan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor ketika berangkat ke Seminar Multi Agensi: Memperkukuh Kolaborasi Dalam Pengendalian Kes Eksploitasi Seksual Terhadap Kanak-Kanak di sini hari ini.
Dalam titah ucapannya, baginda menyeru setiap agensi supaya memperkukuh komunikasi, menyelaras tindakan serta memahami peranan masing-masing dalam usaha menangani kes eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Titah baginda, kerjasama itu penting bagi memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan pengendalian kes.
Baginda turut mengingatkan bahawa anak-anak merupakan amanah yang tidak ternilai dan ibu bapa bertanggungjawab menjaga mereka dengan penuh kasih sayang, perhatian serta perlindungan.
“Hadir dalam kehidupan mereka, dengar suara mereka dan pastikan rumah sentiasa menjadi tempat paling selamat untuk mereka berlindung,” titah baginda.
Turut hadir Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor; Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Hasrunizah Hassan. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial YAM Che’ Puan Besar Khaleeda


