KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan kenyataan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof. Tajuddin Rasdi yang mendakwa pendidikan agama kurang memberi penekanan terhadap isu rasuah.
Firdaus Wong berkata, sepanjang 21 tahun memeluk Islam, beliau sendiri telah diajar mengenai pengharaman rasuah termasuk kecaman terhadap pemberi dan penerimanya.
“Sebagai seseorang yang telah memeluk Islam 21 tahun, saya juga telah diajar dan belajar tentang terkutuk dan terlaknatnya pemberi dan penerima rasuah.
“Jadi saya rasa pelik bagaimana Tajuddin yang lahir Islam boleh kata pendidikan agama kurang tekankan isu rasuah?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Firdaus Wong turut mempersoalkan pengalaman Tajuddin mengikuti pendidikan agama, ceramah serta khutbah Jumaat kerana menurutnya isu rasuah turut disentuh dalam khutbah dan kuliah agama.
“Tajuddin ni ada ponteng kelas agama Islam di sekolah ke? Atau berapa kerap dia hadir ceramah agama? Atau tonton kuliah agama Tajuddin solat Jumaat di mana? Ada je saya solat Jumaat di kebanyakan negeri dalam khutbah ada sebut tentang rasuah,” katanya.
Beliau turut bertanya sama ada Tajuddin pernah membaca ayat al-Quran dan hadis berkaitan rasuah yang menurutnya sering dibentangkan dalam kuliah serta penulisan agama.
“Prinsip dalam Islam mudah sahaja, yang buat dakwaan yang kena buktikan dakwaan bukan yang didakwa kena buktikan mereka tak bersalah dulu. Tajuddin kan seorang Profesor. Benda asas begini mesti Tajuddin faham kan?” katanya.
Tajuddin menerusi satu tulisan disiarkan oleh sebuah portal berita mengemukakan teorinya mengenai beberapa faktor yang didakwanya menyebabkan masyarakat Melayu kurang memberi perhatian terhadap isu rasuah.
Antaranya ramai membayar cukai dalam jumlah kecil, ramai bekerja dalam sektor kerajaan dan tetap menerima gaji, serta kurang mendapat pendidikan mengenai hubungan antara hasil cukai, perbelanjaan kerajaan dan kesan rasuah terhadap pembangunan negara.
Beliau turut mendakwa pendidikan agama kurang menekankan kesan rasuah, politik berasaskan agama mempengaruhi pertimbangan terhadap integriti calon atau parti, sumber wang bantuan daripada parti politik jarang dipersoalkan, selain sentimen menghalang DAP daripada memerintah menyebabkan sebahagian pengundi Melayu terus menyokong parti Melayu atau Islam meskipun berdepan isu rasuah.
“Saya bukan Melayu jadi saya tak boleh jawab kenyataan 1-3 dan 5-6. Harap sahabat Melayu boleh jawab betul ke Melayu tak bayar cukai sangat dan kenyataan lain,” kata Firdaus Wong. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Firdaus Wong Wai Hung


