KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf dan mengakui beliau belum melihat kertas Reformasi Pendidikan yang dikemukakan pembangkang, khususnya oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin di Dewan Rakyat yang membangkitkan mengenai dokumen Reformasi Pendidikan yang sebelum ini diserahkan kepada dua kementerian berkaitan dan turut dibahaskan di Parlimen.
“Tetapi saya mohon maaf, saya belum lihat kertas Reformasi Pendidikan. Itu memang dekat dengan jiwa saya. Saya akan minta khas kertas Reformasi Pendidikan yang dibentangkan oleh pihak pembangkang, khususnya Yang Berhormat Indera Mahkota,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak mempertikaikan hasrat serta keprihatinan Saifuddin sebagai seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan, malah bersetuju beberapa isu dibangkitkan khususnya berkaitan buli, penderaan dan keselamatan murid perlu diberikan perhatian serius.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, penambahan peruntukan RM15 juta tahun depan bagi 1,000 sekolah serta menyediakan 5,107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling.
Selain itu, seramai 300 pembantu warden asrama menerusi program MySTEP dilantik, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan kebenaran memasuki sekolah bagi membantu aspek keselamatan.
Anwar berkata, sebanyak 400 warden turut diberikan latihan kemahiran dan sokongan psikososial, selain kuasa disiplin pengetua dan guru besar diperkukuhkan serta boleh diturunkan kepada guru.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat kelemahan dalam menangani beberapa kes sebelum ini dan menegaskan kerajaan perlu belajar daripada kelemahan berkenaan dengan memperketatkan peraturan.
“Urgency harus ada. Ada kelemahan awal, tatkala kita tangani kes Zara dulu. Itu semua diakui. Tetapi kita harus belajar dari kelemahan itu dan perbaiki, perketatkan peraturan,” katanya.
Anwar turut mengingatkan pihak sekolah supaya tidak menyembunyikan kejadian buli atau penderaan semata-mata mahu menjaga imej dan prestasi institusi berkenaan.
Katanya, tindakan sedemikian akhirnya boleh menyebabkan murid menjadi mangsa dan terus berdepan tekanan ketika berada di sekolah.
Terdahulu, Saifuddin berkata Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mempunyai kebimbangan sama mengenai isu keselamatan serta pendidikan dan pihak pembangkang telah mengemukakan pandangan melalui dokumen Reformasi Pendidikan yang komprehensif kepada menteri. – MYNEWSHUB


