KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya menghantar pulang pelarian yang bersetuju secara sukarela dan telah menandatangani dokumen persetujuan untuk kembali ke Myanmar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menegaskan, tiada individu dihantar pulang secara paksa kerana kerajaan mahu memastikan proses berkenaan mengambil kira aspek keselamatan serta jaminan hak asasi mereka.
Menurut beliau, individu yang bersetuju untuk pulang perlu menandatangani persetujuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu sebelum proses penghantaran dilaksanakan.
“Kita berikan jaminan dan hanya dengan persetujuan dia, menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita kirim. Kalau tidak, kita masih tidak.
“Jadi yang pulang itu menandatangani persetujuan KDN. Mereka setuju tanpa paksaan, bukan under duress untuk menghantar pulang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung penghantaran pulang warga Myanmar termasuk persoalan mengenai kumpulan etnik yang terlibat.
Anwar menjelaskan perjanjian antara Malaysia dan Myanmar merangkumi rakyat negara itu tanpa mengira kumpulan etnik, termasuk Arakan, Karen, Shan atau Rohingya.
Dalam perkembangan sama, Anwar membetulkan angka penghantaran pulang dengan menjelaskan kira-kira 1,400 orang yang dibawa menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar baru-baru ini hanya sebahagian daripada keseluruhan kira-kira 10,000 warga Myanmar yang telah dihantar pulang sejak Januari.
Sebahagian daripada mereka sebelum ini dibawa pulang menggunakan pesawat atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri, manakala kumpulan terbaharu menggunakan kapal tentera laut negara berkenaan.
Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah memastikan setiap penghantaran pulang dilakukan dengan persetujuan individu terbabit dan bukannya secara paksaan, selaras dengan jaminan terhadap hak asasi mereka. – MYNEWSHUB


