BAYANGKAN buka sahaja notis daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), tiba-tiba jumlah cukai yang tertera membuatkan anda terdiam.
Angkanya tidak seperti dijangka.
Mahu bantah tak tahu caranya?
Jangan panik kerana taksiran itu bukan semestinya noktah. Pembayar cukai mempunyai hak untuk membuat rayuan.
Malah, proses itu kini lebih mudah menerusi e-Rayuan Taksiran, kemudahan yang membolehkan rayuan terhadap taksiran cukai atau permohonan lanjutan masa dibuat secara dalam talian melalui portal MyTax.
Perkhidmatan itu diperkenalkan secara berperingkat sejak 22 September 2025 sebelum dibuka kepada pembayar cukai di seluruh Malaysia mulai 1 Jun 2026.
Namun, jangan tunggu terlalu lama.
Secara amnya, rayuan perlu dibuat menggunakan Borang Q dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran diserahkan.
Jika tempoh itu terlepas, permohonan lanjutan masa boleh dibuat menggunakan Borang N.
Kedua-duanya kini boleh dikemukakan secara dalam talian tanpa perlu berulang-alik ke Pejabat HASiL atau menghantar dokumen melalui pos.
Cuma ada satu perkara penting, rayuan taksiran dan pembetulan Borang Nyata bukan perkara yang sama.
Jika anda sendiri tersilap membuat pengiraan, terlupa menuntut perbelanjaan dibenarkan atau tersalah melaporkan maklumat sehingga cukai dikenakan secara berlebihan, e-Rayuan Taksiran bukan salurannya.
Kes sedemikian melibatkan permohonan relif di bawah Seksyen 131 atau Seksyen 131A Akta Cukai Pendapatan 1967, bergantung kepada kesalahan atau keadaan.
Untuk membuat rayuan, log masuk ke MyTax dan pergi ke Perkhidmatan ezHasil > e-Rayuan > e-Rayuan Taksiran.
Pilih Borang Q untuk rayuan atau Borang N bagi permohonan lanjutan masa.
Pastikan maklumat penting seperti tahun taksiran, nombor notis, tarikh notis diserahkan dan alasan rayuan disediakan dengan betul.
Jangan pula sekadar menulis “saya tidak setuju” pada bahagian alasan.
Rayuan perlu mempunyai alasan yang jelas, spesifik dan berasaskan fakta.
Dokumen sokongan pula, walaupun tidak diwajibkan, amat digalakkan bagi mengukuhkan kes.
Selepas semuanya diperiksa, tekan “Tandatangan & Hantar” dan status permohonan boleh dipantau melalui MyTax, manakala keputusan rasmi akan dimaklumkan menerusi Peti Mel MyTax.
Terlepas tempoh 30 hari?
Belum semestinya tertutup terus. Pembayar cukai boleh memohon lanjutan masa melalui Borang N dengan alasan munasabah.
Antaranya dimasukkan ke hospital bagi tempoh panjang, berada di luar negara, terlibat dalam bencana alam atau keadaan lain di luar kawalan.
Bagi Tahun Taksiran 2020 dan seterusnya, Borang N hendaklah dikemukakan dalam tempoh tujuh tahun selepas tamat tempoh 30 hari untuk mengemukakan Borang Q.
Daripada mengisi borang dan pergi ke kaunter, kini urusan rayuan boleh dibuat dengan beberapa klik sahaja.
Tetapi mudah bukan bermaksud boleh sambil lewa.
Tempoh mesti dipatuhi, borang perlu betul dan maklumat hendaklah tepat. Jadi, kalau angka pada notis taksiran membuatkan anda menggaru kepala, jangan terus anggap anda tiada pilihan.
Semak dahulu, fahami hak anda dan jika ada asas, gunakan saluran rayuan yang disediakan. – MYNEWSHUB



