KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu tanpa syarat hari ini.
Keputusan tersebut diumumkan menerusi kenyataan media bertarikh 2 Oktober 2026, selepas beliau memaklumkan menerima keputusan penggantungan keahliannya dalam PKR selama tiga tahun pada 30 September lalu.
“Sebelum ini akses terhadap peruntukan RM3 juta untuk Petaling Jaya telah disekat dan digunakan oleh wakil parti. Kini keadaan menjadi lebih serius.
“Saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Justeru, saya, Lee Chean Chung, hari ini mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat,” katanya.
Dalam kenyataan panjang itu, Chean Chung turut mengkritik aspek pentadbiran kerajaan serta mempersoalkan hala tuju reformasi yang pernah diperjuangkan Pakatan Harapan (PH)
Beliau mendakwa terdapat perubahan standard dalam menangani isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan institusi.
“Dahulu, PH mengkritik BN dan PN kerana gagal membawa negara ke arah yang betul. Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa ‘sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu’
“Dahulu kita melaungkan bahawa rakyat ialah tuan kepada negara. Hari ini, rakyat pula yang perlu memujuk diri sendiri,” katanya.
Dakwa beliau, selepas lebih tiga tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan, rakyat semakin mengenali istilah Corporate Mafia dan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)
“Dahulu, PH mendesak Azam Baki berundur. Hari ini, isu pemilikan saham berlebihan dan dakwaan berkaitan mafia korporat masih menimbulkan persoalan besar terhadap kebebasan serta kredibiliti institusi negara.
“Hari ini, kita perlu berhati-hati supaya negara kita tidak menjadi ‘Mafia State’ mirip keadaan di Mexico atau Columbia,” dakwanya.
Beliau turut membangkitkan tentang dakwaan Victor Chin bahawa RM9.5 juta telah diberikan kepada seorang Ahli Parlimen PKR ysng masih belum disiasat oleh Lembaga disiplin.
“Yang disiasat adalah saya yang lantang bersuara. Tambahan, sehingga kini kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan mafia korporat secara menyeluruh.
“Kes-kes berprofil tinggi yang berakhir dengan DNAA pada waktu-waktu sensitif telah menimbulkan persepsi bahawa proses pendakwaan semakin terdedah kepada pengaruh politik,” dakwanya lagi. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Lee Chean Chung


