PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan dua individu tidak dikenali tiba-tiba muncul dan merakam ketika penguatkuasaan sedang dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.
Mohd Shuhaily berkata demikian ketika menjelaskan kronologi insiden yang berlaku sehingga rakaman mengenainya tular di media sosial.
Menurutnya, kejadian bermula ketika beliau bersama beberapa pegawai menjalankan penguatkuasaan terhad di aras lima KLIA selepas membuat tinjauan persediaan AKPS bagi menghadapi kemasukan pengunjung sempena perlumbaan Formula 1 hujung minggu ini.
Katanya, penguatkuasaan itu turut dilakukan susulan aduan mengenai kegiatan sindiket ulat warga asing serta peningkatan penemuan dadah dan barangan kontraban di lokasi pemeriksaan bagasi.
Ketika operasi berkenaan, seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket ulat ditahan sebelum dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi.
Mohd Shuhaily berkata, ketika sesi temu bual terhadap warga asing berkenaan sedang dijalankan, dua individu yang tidak dikenali muncul dan merakam kejadian tersebut.
“Apabila didekati pegawai saya dan dibawa ke hadapan untuk melihat apa yang dirakam, arahan diberikan supaya mereka memadam rakaman tersebut.
“Saya memberikan amaran yang paling tegas, bahawa penguatkuasaan pada ketika itu hanya membabitkan pegawai AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja,” katanya pada sidang akhbar, Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaan menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan kementerian, manakala siasatan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Saya telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian mengenai perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima.
“Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya.
Mohd Shuhaily turut mengakui dirinya tidak sempurna dan bersedia berdepan segala implikasi daripada insiden tersebut.
“Saya berdiri di hadapan anda semua untuk menghadapi dan bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap apa juga keputusan kerajaan terhadap dirinya selepas ini tidak menjejaskan pasukan AKPS yang disifatkannya sebagai tulang belakang dalam usaha memperkukuh keselamatan pintu masuk negara. – MYNEWSHUB


