SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menegaskan pihaknya menghormati bidang kuasa serta urusan Istana dan tidak berhasrat mencampuri perkara berkaitan Adat Perpatih susulan perkembangan semasa yang menyentuh institusi Raja di negeri itu.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada saluran dan mekanisme sedia ada supaya sebarang persoalan dapat ditangani secara teratur, berhemah serta berlandaskan undang-undang.
Menurutnya, sebarang persoalan yang timbul wajar dirujuk kepada kerangka yang menjadi asas pemerintahan termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), Adat Perpatih, Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap perkara dapat ditangani melalui peruntukan dan bidang kuasa yang sewajarnya, di samping memelihara keharmonian, mengelakkan salah faham serta membantu menenangkan keadaan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, UMNO Negeri Sembilan menegaskan kemelut yang berlaku tidak seharusnya menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat.
Katanya, urusan harian kerajaan, penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan negeri serta pelaksanaan dasar dan program kerajaan perlu diteruskan sebaik-baiknya bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
UMNO Negeri Sembilan turut menyeru semua pihak mengutamakan adab, kesantunan dan sikap saling menghormati serta menguruskan sebarang perbezaan pandangan secara matang tanpa mengatasi kepentingan keharmonian negeri.
Parti itu turut menjunjung kasih kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan mendoakan segala persoalan yang timbul dapat diselesaikan dengan penuh hikmah, tertib serta berlandaskan undang-undang dan nilai warisan negeri.
“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan. Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya. – MYNEWSHUB


