KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyindir tindakan pihak dalam blok kerajaan menyertai demonstrasi berkaitan isu ‘mafia korporat’ sambil mempersoalkan mengapa mereka perlu turun ke jalan sedangkan kerajaan mempunyai kuasa untuk bertindak.
Dalam satu hantaran di media sosial, Muhamad Akmal membangkitkan kedudukan Menteri Dalam Negeri yang datang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH)
Katanya, PKR berada dalam gabungan sama dengan DAP, justeru pihak berkenaan sepatutnya menggunakan saluran kerajaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan sekiranya terdapat kesalahan.
“Menteri Dalam Negeri dari PKR. PKR juga dalam PH yang dalamnya ada DAP. Tidak perlu turun demo, minta sahaja menteri kamu buat kerja, maka tertangkaplah mafia korporat tu,” katanya.
Muhamad Akmal kemudian secara sinis mempersoalkan sama ada penganjuran demonstrasi berkenaan sebenarnya membawa gambaran bahawa kerajaan sendiri gagal bertindak terhadap isu tersebut.
“Ni demo nak cakap menteri dan kerajaan kamu tidak buat kerja ke? Ke kamu masih nak berlakon jadi pembangkang?” soalnya.
Beliau turut melontarkan sindiran bahawa rakyat akan menentukan kedudukan parti-parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tidak mengapa, seluruh rakyat Malaysia akan jadikan kamu pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang ya,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


