KUALA PILAH – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera susulan kematian seorang murid Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan tiada mana-mana pihak
akan dilindungi sekiranya siasatan mendapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang dalam kejadian berkenaan.
“Tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Saya dimaklumkan bahawa seorang pelajar telah ditahan bagi membantu siasatan. KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Siasatan kini di bawah PDRM. Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Terdahulu, Fadhlina berkata, beliau hadir ke sekolah terbabit pagi ini untuk bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan penjelasan mengenai kejadian dan tindakan yang telah diambil.
Menurut beliau, KPM menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham serta warga sekolah yang terkesan, selain memberi jaminan kebajikan mereka akan terus diberikan perhatian.
Sebelum ini, media melaporkan, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada Jumaat malam.
Media turut melaporkan, polis memaklumkan kes kematian pelajar Tingkatan Dua itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun sudah ditahan bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Fadhlina Sidek


