KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan cadangan rumah Datuk Seri Najib Razak dipasang kawat duri, lampu sorot dan menempatkan pengawal bersenjata untuk menjalani tahanan rumah sebagai idea yang tidak masuk akal.
Beliau berkata, cadangan sedemikian tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah yang juga bukan hanya terpakai kepada Najib.
“Kenapa tidak dipasang kawat duri di sekeliling rumah Datuk Seri Najib, letakkan lampu dan bina rumah pengawal yang tinggi untuk pengawal duduk di situ dengan membawa submesin gun?
“Cadangan itu tidak masuk akal kerana ia tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita turut dilaporkan berkata, Najib berdepan situasi sukar kerana perlu membayar sejumlah wang tetapi tidak mempunyai dana berkenaan.
Mengulas mengenai kutipan dana awam oleh pihak lain untuk Najib, Muhammad Shafee dipetik menegaskan apa juga pendirian Najib berhubung sumbangan berkenaan boleh menimbulkan pelbagai andaian.
“Kalau dia terima donation (sumbangan) itu pun, orang akan kata, ha, itu duit dia lah tu, dia pusing-pusing, kena balik.
“Kalau dia tak ambil (duit sumbangan), dan kekal dalam (penjara), is another speculation (spekulasi lain). Mungkin you all kata, ini orang politik, putar balik, dia nak dapat simpati,” katanya. – MYNEWSHUB


