KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak masih belum menerima surat rasmi berhubung pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pasukan guaman bekas Perdana Menteri itu juga sehingga kini belum menerima dokumen yang memperincikan syarat-syarat pengampunan berkenaan.
Menurut beliau, surat rasmi itu penting memandangkan Najib merupakan individu yang secara langsung tertakluk kepada keputusan berkenaan, termasuk berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.
“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan secara prerogatif, orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib sebab dia adalah orang yang dikenakan penjara, dikenakan penahanan rumah, tetapi hingga ke hari ini dia belum mendapat surat itu,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya tidak mengetahui punca dokumen berkenaan mengambil masa untuk diserahkan, malah mendakwa Jabatan Penjara juga masih belum menerimanya.
“Kita tak tahu, kenapa surat itu begitu lambat, penjara (Jabatan Penjara) pun tidak dapat,” katanya.
Beliau berkata, hari ini sudah memasuki hari kelapan sejak pengampunan bersyarat berkenaan diberikan kepada Najib, namun surat rasmi yang menetapkan syarat pelaksanaannya masih belum diterima.
Menurut Muhammad Shafee, kelewatan itu menjejaskan tindakan selanjutnya pasukan guaman kerana mereka masih belum mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan. – MYNEWSHUB


