KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa beliau pernah diminta menandatangani dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, namun memilih untuk tidak berbuat demikian kerana mempunyai keraguan terhadap proses yang dilalui.
Aminuddin berkata, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu dikemukakan kepadanya pada 20 April ketika beliau masih menjadi Menteri Besar untuk ditandatangani dengan merujuk proses di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS)
“Saya membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aminuddin, persoalan utama bukan semata-mata mengenai kuasa berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya sama ada keseluruhan proses yang ditetapkan di bawah UUTKNS telah dipenuhi dengan sempurna.
Beliau mendakwa, antara perkara yang menimbulkan persoalan ketika itu ialah keperluan suatu siasatan yang penuh dan lengkap selain pertikaian mengenai kedudukan salah seorang pihak yang terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Justeru, beliau mempersoalkan bagaimana penggantinya, Datuk Ismail Lasim, boleh menandatangani dokumen proklamasi yang sama pada 3 Ogos lalu selepas beliau sendiri sebelum itu memilih untuk tidak menandatanganinya.
“Jika saya ketika menjadi Menteri Besar boleh membuat keputusan untuk tidak menandatangani dokumen tersebut kerana mempunyai keraguan terhadap prosesnya, bagaimana pula tandatangan Menteri Besar selepas saya boleh berada pada dokumen yang sama?” soalnya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun
