KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui mentadbir negara bukanlah suatu tugas yang mudah.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, memikul amanah sepenting itu menuntut kebijaksanaan serta iltizam.
“Saya bertekad untuk mencurahkan segenap kudrat demi tanah air.
“Menumpu pada usaha membaiki dan merombak sistem, amalan dan budaya lampau yang telah merosakkan dan melemahkan negara ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Madani dan PH kekal konsisten dalam memelihara dan menghormati kedudukan Raja-raja Melayu.
Menurut beliau, Kerajaan Madani dan PH juga jelas dan nyata kekal konsisten memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan, beliau dan rombongan Malaysia menuju ke Hangzhou dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi hari ini.
Katanya, beberapa sesi pertemuan telah dijadualkan meneruskan misi untuk meneroka peluang pelaburan ke Malaysia terutama dalam bidang teknologi dan automotif. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


