KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari memberi bayangan bahawa agenda perpaduan ummah bakal direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menerusi hantaran ringkas di media sosial, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkembangan politik di Melaka bakal menyaksikan usaha berkenaan kembali diterjemahkan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
“Melaka sudah memanggil. Perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli tidak memperincikan bentuk kerjasama yang dimaksudkan atau parti-parti yang bakal terlibat dalam usaha perpaduan ummah tersebut.
Kenyataan itu bagaimanapun memberi isyarat mengenai kemungkinan wujud kerjasama politik menjelang PRN Melaka, khususnya melibatkan parti-parti yang membawa agenda penyatuan ummah.
Dalam hantaran sama, Ahmad Fadhli turut menyatakan keyakinannya bahawa Pakatan Harapan (PH) akan berdepan kekalahan dalam pilihan raya berkenaan.
“Insya-Allah PH bakal bertemu kekalahan berikutnya,” katanya. – MYNEWSHUB


