JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Pesta Hari Keluarga Johor di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.
Karnival yang berlangsung pada 20 September itu turut diadakan secara serentak di tiga daerah lain, iaitu Kluang, Mersing dan Segamat.
Program cetusan ilham Raja Permaisuri Agong itu diadakan bagi meraikan serta menyantuni rakyat Johor, selain menyediakan ruang kepada seisi keluarga untuk menikmati pelbagai aktiviti riadah bersama-sama.
Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat khemah pameran dan beramah mesra dengan rakyat yang hadir sebelum mengakhiri keberangkatan pada acara berkenaan.
Pesta itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 16 September bersempena sambutan Hari Malaysia, namun terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Berangkat sama mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Pada acara sama, Seri Paduka Baginda turut melancarkan koleksi eksklusif edisi terhad, ‘Royal Johor Art By RZS – Beg Rumah Kampung’, yang menampilkan karya seni lukisan hasil ciptaan Baginda sendiri.
Koleksi berkenaan diperkenalkan sebagai salah satu usaha mengumpulkan dana bagi menjayakan kegiatan kebajikan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ)
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abdul Rahim berkata, koleksi itu memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki karya istimewa dalam bentuk yang boleh dibawa dan dihargai.
“Beg ini menampilkan lukisan hasil karya Tuanku sendiri yang bukan sahaja membawa nilai seni dan warisan, malah menjadi wadah untuk menyalurkan sumbangan serta menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar


