KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu hadapan.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen telah diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.
Menurut KPM, pihaknya mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.
“KPM berpandangan bahawa ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kementerian akan membawa cadangan semakan semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen kepada Jemaah Menteri pada minggu hadapan.
KPM turut menghargai sumbangan pengusaha pusat tuisyen selama ini dan memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.
Sebelum ini tular isu pusat tuisyen dikehendaki memenuhi syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera bagi pembaharuan lesen. – MYNEWSHUB


