KUALA LUMPUR – Facebook rasmi Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli serta kepimpinan UMNO atas sokongan, keprihatinan dan solidariti yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Menerusi hantaran di Facebook Najib Razak, penghargaan turut diberikan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta semua pihak yang sejak awal bertanyakan bagaimana mereka boleh membantu.
“Bagi pihak Datuk Seri Najib Razak, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli-ahli UMNO, kepimpinan UMNO serta Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, atas sokongan, keprihatinan dan solidariti yang diberikan,” menurut hantaran itu.
Hantaran berkenaan turut memaklumkan bahawa mereka yang mahu menyumbang kepada Tabung Solidariti Najib Razak boleh berbuat demikian melalui saluran rasmi yang diselia Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di CIMB Islamic menerusi nombor akaun 8604886094.
Menurut hantaran itu, semua sumbangan dibuat secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing.
Penghargaan turut disampaikan kepada semua pihak yang terus bersama Najib dan keluarganya, dengan setiap doa, kata-kata semangat serta sokongan yang diberikan disifatkan amat dihargai. – MYNEWSHUB


